KAKITANGAN PNSB SERTAI KURSUS MOTIVASI DI KUCHING, SARAWAK
Dalam ucapan perasmian kursus motivasi, YBhg. Datin Hajjah Khairiyah Bt Abu Hassan, Pemangku Ketua Eksekutif PNSB, telah menekankan bahawa setiap wargakerja PNSB seharusnya membuat perubahan minda secara berterusan agar relevan dengan tuntutan kerja semasa. Tambah beliau, budaya cemerlang di dalam sesebuah syarikat juga bergantung kepada kecemerlangan individu memandangkan setiap pekerja merupakan modal insan atau aset utama bagi kejayaan sesebuah syarikat. Menurut beliau lagi, setiap pekerja harus berusaha mempamerkan komitmen yang jati agar dapat merealisasikan visi dan misi menjadi sebuah organisasi yang terbaik. Kursus motivasi tersebut telah dikendalikan oleh YBhg. Tuan Hj Abang Ismawi Bin Abang Muhi, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya, Kuching, juga merupakan seorang jururunding motivasi bebas yang dikenali di Sarawak. Program ini telah di akhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kursus kepada para peserta oleh YBhg. Datin Hajjah Khairiyah Bt Abu Hassan yang juga telah turut serta bersama-sama kakitangan PNSB menyertai Kursus Motivasi Pegawai dan Kakitangan PNSB tahun 2007. Kursus motivasi ini juga telah diisi dengan tazkirah subuh yang merangkumi kuliah membangkitkan semangat, kesedaran kerohanian disamping konsep-konsep asas menjadi insan atau Islam yang berjaya. Tazkirah subuh telah dikendalikan oleh YBhg. Ustaz Ibrahim Bin Said dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sarawak. Malam hari kedua dan ketiga program telah diserikan dengan Majlis Makan Malam bersama keluarga dan antara program-program yang telah disusun untuk memeriahkan majlis merupakan penyampaian hadiah-hadiah bagi meraikan kelahiran kakitangan bulan Januari hingga Mac 2007, pemenang-pemenang bagi acara-acara sukaneka, bowling serta pemenang-pemenang cabutan nombor bertuah. |
MAJLIS PERJUMPAAN DAN MENANDATANGANI PERJANJIAN JUAL BELI KEPADA SETINGGAN
Sebanyak 180 unit Pangsapuri Kos Rendah sedang dalam pembinaan bagi menempatkan setinggan Wira Damai di tapak projek. Walau bagaimanapun hanya 140 unit Pangsapuri Kos Rendah telah ditawarkan kepada setinggan berkenaan. Daripada jumlah tersebut, seramai 75 orang telah menandatangani perjanjian jual beli pada hari pertama manakala 18 orang pada hari kedua. Turut hadir ialah YBhg. Datin Hajjah Khairiyah Abu Hassan, Pemangku Ketua Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Selayang, pegawai-pegawai EON Bank dan peguam Pani Normala & Co. Majlis yang sama akan diadakan pada 10 Februari 2007 bagi baki setinggan yang terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya yang akan diberi keutamaan untuk mendapatkan unit tingkat bawah. Harga unit rumah yang ditawarkan ialah RM35,000.00 manakala setinggan yang telah mendapat tawaran lot di Kundang, Matang Pagar atau tempat lain ialah RM42,000.00 setiap unit. |
MAJLIS PENYERAHAN LEMBU-LEMBU KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA DI BAWAH PROGRAM MESRA RAKYAT DAN KERAJAAN PRIHATIN NEGERI SELANGOR TAHUN 1427 HIJRAH
Sempena Hari Raya Aidil Adha tahun 1427 Hijrah yang dijangka akan disambut pada 31 Disember 2006, sebanyak 357 ekor lembu telah disediakan oleh PNSB untuk diserahkan kepada seluruh masjid di negeri Selangor. Majlis tahunan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2002 ini merupakan salah satu agenda Kerajaan Negeri Selangor di dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup serta membela nasib rakyat termiskin menerusi pendekatan Mesra Rakyat dan Kerajaan Prihatin. Ia berkonsepkan memberi tumpuan khusus kepada mengukuh dan mempertingkatkan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat yang kurang bernasib baik dengan memberi sokongan secara sumbangan atau dengan cara melaksanakan program-program kebajikan. Di dalam ucaptama yang telah disampaikan oleh YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor, beliau telah menyarankan agar lebih banyak lagi badan-badan bukan kerajaan dan sektor korporat serta individu-individu yang berkemampuan memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam penajaan program mempertingkatkan sosio ekonomi rakyat termiskin Selangor sepertimana yang telah dilaksanakan oleh PNSB. Tambah beliau, selaras dengan status Selangor Maju, Kerajaan Negeri Selangor juga amat prihatin di dalam membangunkan masyarakat yang harmonis dan bersatupadu serta proaktif di dalam menangani berbagai gejala sosial akibat fenomena kemiskinan dengan mengadakan berbagai-bagai program. Di majlis yang sama, PNSB yang diwakili oleh Pengerusinya, YAB. Dato’
Seri Dr Hj Mohamad Khir Bin Toyo, telah menyerahkan cek zakat pendapatan
syarikat yang bernilai RM429,857.18 kepada Yang Amat Dihormati Dato’
Setia Mohamad Adzib Bin Mohd Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor
(MAIS). |
MAJLIS PERASMIAN MASJID KAMPUNG SUNGAI NIPAH, SIMPANG LIMA, SUNGAI BESAR
Di dalam ucapan Baginda, telah bertitah bahawa Masjid Ma’Muniah merupakan pemangkin selaras dengan kemajuan daerah Sabak Bernam disamping digunakan untuk umat Islam bertemu tidak kira kaya, miskin, tua dan muda untuk bersama-sama melaksanakan ibadah. Dalam masa yang sama, titah Baginda, Masjid ini haruslah memainkan peranan penting di dalam melaksanakan dan merancang majlis-majlis ilmu serta aktiviti-aktiviti sosial yang selaras dengan keperluan agama Islam bagi masyarakat setempat ke arah memantapkan lagi kehidupan bermasyarakat. Hadir sama di majlis perasmian Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB. Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Bin Toyo, Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Hj Onn Bin Hj Ismail, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor serta Pegawai Daerah Sabak Bernam. Masjid Ma’Muniah yang dibina oleh Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah mangambil masa selama setahun untuk disiapkan, bermula pada 10 Mac 2005 dan telah siap sepenuhnya pada 10 Mac 2006 dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.2 juta. Secara amnya konsep reka bentuk masjid yang asal masih lagi dikekalkan manakala pengolahan rekabentuk ruang yang baru adalah disesuaikan dengan keperluan masjid masa kini seperti ruang solat yang dapat memuatkan seramai 1500 orang jemaah. Tapak masjid asal juga turut dikekalkan sebagai sebahagian kawasan masjid baru. |
PAMERAN SEMPENA PERSIDANGAN IMT-GT
Salah satu acara yang telah dilaksanakan bersempena dengan persidangan tersebut adalah pameran di mana Permodalan Negeri Selangor Berhad serta anak-anak syarikat dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil bahagian secara bersama di bawah bumbung Selangor Pavillion. Di pameran tersebut, anak syarikat, PNSB Insurance Brokers Sdn Bhd, serta syarikat usahasama PNSB seperti Sepang Gold Coast Sdn Bhd , LBS Bina Group, PNSB Acmar serta I&P Morib Sdn Bhd telah turut serta dengan mempamerkan “showcase” projek usahasama masing-masing, antaranya projek Sepang Gold Coast di Bagan Lalang dan Hotel Impian Morib. Disamping itu, salah sebuah syarikat perwakilan yang baru sahaja ditubuhkan di Padang, Sumatera Barat, P.T Peladang JV, juga telah turut sama menyertai pameran 4 hari itu. PT Seladang JV merupakan syarikat usahasama dengan PEMKO (Pemerintah Kota Padang) dan adalah anak syarikat PNSB Management Consultancy Sdn Bhd. Ia telah ditubuhkan sebagai “One Stop Centre” atau fasilitator bagi meneroka peluang perniagaan baru dan membawa para pelabur luar ke Sumatera Barat dengan PNSB bertindak sebagai promoter atau rakan kongsi. |