PROGRAM PERHUBUNGAN AWAM DAN MEDIA SEPANG GOLD COAST

Malaysia Hari Ini (MHI) TV3
Temubual eksklusif The Exchange TV3

Sepang Gold Coast Sdn. Bhd. dalam usaha untuk mempromosikan projek The Golden Palm Tree di Pantai Bagan Lalang telah menjalankan beberapa program perhubungan awam dan media. Di antaranya ialah temubual secara langsung bagi program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 dan temubual ekskludif bagi program The Exchange TV3.

Temubual secara langsung Program MHI yang menampilkan Encik Ho Hok Seng selaku Presiden dan Cik Nurlie Abdul Manap, Eksekutif Perhubungan Awam Sepang Gold Coast Sdn. Bhd. telah diadakan di Bangunan Sri Pentas TV3 pada 24 Ogos 2006.

Manakala rakaman temubual eksklusif bersama Y.Bhg. Datin Hajjah Khairiyah binti Abu Hassan selaku Timbalan Ketua Eksekutif (II) / Pengurus Besar, Perancangan dan Pembangunan Projek PNSB dan Encik Ho Hok Seng, Presiden Sepang Gold Coast Sdn. Bhd. bagi program The Exchange TV3 telah disiarkan pada 22 September 2006.

Selain daripada itu, temubual bersama Pak Yenki Regan, Ahli Lembaga Pengarah Sepang Gold Coast Sdn. Bhd., Encik Ho Hok Seng, Presiden Sepang Gold Coast Sdn. Bhd. dan wartawan The Edge Daily Malaysia juga telah diadakan di tapak projek pada 18 September 2006.

 

LAWATAN DAN SESI TAKLIMAT KELAB INNER WHEEL KUALA LUMPUR KE SEPANG GOLD COAST

Sepang Gold Coast sekali lagi telah menerima kunjungan daripada Kelab Inner Wheel Kuala Lumpur yang berminat untuk melihat sendiri pembangunan projek Sepang Gold Coast yang dijalankan di Pantai Bagan Lalang , Daerah Sepang pada 12 September 2006. Lawatan tersebut telah diketuai oleh Ahli Kehormat kelab tersebut iaitu Y.A.M. Tengku Puteri Norzehan binti Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tengku Puan Panglima Perlis.

Encik Wong Mun Chong selaku Ketua Perhubungan Korporat Sepang Gold Coast Sdn. Bhd. telah menyampaikan taklimat mengenai pemasaran projek kepada ahli rombongan seramai 30 orang. Lawatan sekitar tapak projek dan pusat informasi juga diadakan. Jamuan juga turut diadakan di Pavillion yang merupakan komponen terbaru Sepang Gold Coast.

 

PERBARISAN DAN PERARAKAN SEMPENA MENYAMBUT SAMBUTAN PERAYAAN BULAN KEMERDEKAAN KE 49 PERINGKAT NEGERI SELANGOR

Permodalan Negeri Selangor Berhad buat tahun kelimanya telah menghantar kontinjen kawadnya yang terdiri daripada 40 orang peserta serba lengkap dan megah berpakaian putih berkonsepkan korporat untuk menyertai Perbarisan dan Perarakan Sempena Menyambut Sambutan Perayaan Kemerdekaan ke 49 Peringkat Negeri Selangor pada hari Khamis, 31 Ogos 2006.

Majlis tahunan yang telah dihadiri oleh YAB. Dato’ Seri Dr Hj Mohamad Khir Bin Toyo, Dato’ Menteri Besar Selangor serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, telah dilangsungkan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam tepat jam 9.00 pagi.

Acara kemuncak pada hari tersebut merupakan pertandingan acara lintas hormat oleh pelbagai agensi swasta, agensi-agensi Kerajaan, IPTS/IPTA, Sekolah dan Badan Berkanun.

 

SESI TAKLIMAT SEPANG GOLD COAST KEPADA AHLI MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM (MBSA) DAN ROMBONGAN

Sepang Gold Coast telah menerima kunjungan Y.Bhg. Dato’ Ramlan bin Othman Datuk Bandar Shah Alam dan beberapa tetamu kehormat dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor seperti Y.B. Dato’ Salamon bin Selamat (ADUN Batu Tiga), Y.B. Dato’ Amzah bin Haji Umar (ADUN Seri Muda), Y.B. Ir. Bushro bin Haji Mat Johor (ADUN Paya Jaras), Y.A.D. Dato’ Seri Indah DiRaja Dato’ Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Hamid, Tuan Azizan bin Mohd. Sidin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang dan Pengarah-pengarah dan Ketua-ketua Bahagian MBSA pada 28 Ogos 2006.

Rombongan ini diadakan sempena Mesyuarat Majlis Penuh Kelapan MBSA yang diadakan di KLIA Pan Pacific Sepang dan dihadiri seramai 40 orang tetamu.

Taklimat projek telah disampaikan Presiden Sepang Gold Coast Sdn. Bhd., Encik Ho Hok Seng. Lawatan sekitar tapak dan unit prototaip Water Villa juga telah diadakan.

LAWATAN PM KE SELANGOR VEGGIE PARK

Lawatan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) ‘Selangor Veggie Park’ Hulu Yam pada 13 Jun 2006 di Hulu Selangor merupakan lawatan kerja beliau ke Negeri Selangor, tahun 2006.

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), di Hulu Yam ini yang dikenali sebagai ‘Selangor Veggie Park’ kini sedang diusahakan sebagai sebuah ladang tanaman sayuran berdaun dan perikanan akuakultur. Pengeluaran bagi sayuran berdaun di TKPM telahpun menjangkau sebanyak 80 metrik tan sehari yang juga merupakan pusat pengeluaran terbesar bagi sayur berdaun di Malaysia.

Tanah seluas 220.36 hektar (544.52 ekar) ini adalah merupakan tanah hakmilik Permodalan Negeri Selangor Berhad yang disewakan kepada penanam-penanam sayur yang berpotensi dan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Pertanian dan Perikanan Negeri Selangor.

Dalam lawatan ini juga, satu surat hasrat telah berjaya ditandatanagani oleh Pasaraya Giant Malaysia bersama wakil para pekebun terbabit untuk membekalkan sayuran berdaun ke pasaraya tersebut dengan kerjasama FAMA.

Turut sama hadir pada lawatan ini, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Dato’ Menteri Besar Selangor, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri Selangor.

PERJUMPAAN DENGAN PENDUDUK RUMAH PANGSA KOS RENDAH TAMAN PERMATA, DENGKIL

DENGKIL, 5 Feb. – Lanjutan daripada mesyuarat di antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Majlis Perbandaran Sepang dan Wakil Persatuan Penduduk Taman Permata, satu sessi perjumpaan di antara penduduk Rumah Pangsa Taman Permata dan pihak yang terlibat telah diadakan bagi meyelesaikan masalah yang berkaitan pinjaman pembeli yang telah lama tertunggak pada PNSB.

Antara yang hadir pada hari tersebut adalah wakil-wakil dari Tetuan Muthuvelu Param Rosdin & Co., Tetuan Jamaludin Ibrahim & Associates, Tetuan Yazid Baba & Partner, wakil Public Finance Berhad, Majlis Perbandaran Sepang dan juga anggota polis Daerah Sepang. Dianggarkan seramai lebih kurang 100 orang penduduk turut hadir pada perjumpaan tersebut bagi menyelesaikan masalah pinjaman mereka dengan pihak peguam dan juga pihak bank.

Melalui perjumpaan tersebut, didapati masalah yang berlarutan hingga sekarang adalah berpunca dari kelambatan menguruskan pinjaman samada dari pihak peguam mahupun pembeli. PNSB juga turut mengenal pasti terdapat lot-lot rumah kosong yang telah diceroboh masuk oleh penduduk. Sebanyak 24 buah rumah telah diduduki tanpa menyelesaikan urusan pembelian dengan pihak PNSB manakala unit-unit kosong yang diceroboh masuk sebanyak 4 buah rumah. Majlis perjumpaan tersebut tamat pada kira-kira jam 1.30 petang.

 

MAJLIS PENYERAHAN LEMBU-LEMBU KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA DI BAWAH PROGRAM MESRA RAKYAT DAN KERAJAAN PRIHATIN NEGERI SELANGOR TAHUN 2006

SHAH ALAM, 5 JAN. - Buat kali kelimanya, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), sebuah syarikat Kerajaan Negeri Selangor, menganjurkan Majlis tahunan Penyerahan Lembu-lembu Korban Sempena Hari Raya Aidil Adha Di Bawah Program Mesra Rakyat dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Bin Toyo, Dato’ Menteri Besar Selangor. Majlis kali ini telah dilaksanakan di Kompleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam.

Sebanyak 359 ekor lembu telah disediakan oleh PNSB bagi diserahkan kepada seluruh masjid di negeri Selangor untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada 10 Januari 2006.

Majlis yang merupakan kesinambungan kepada majlis-majlis sejak tahun 2002 ini merupakan salah satu agenda Kerajaan Negeri Selangor di dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup serta membela nasib rakyat termiskin menerusi pendekatan Mesra Rakyat dan Kerajaan Prihatin berkonsepkan
memberi tumpuan khusus kepada mengukuh dan mempertingkatkan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat yang kurang bernasib baik dengan memberi sokongan secara sumbangan atau dengan cara melaksanakan program-program kebajikan.

Di Majlis sama yang julung-julung kali dianjurkan pada tahun 2002, sebanyak 70 ekor lembu korban telah diserahkan oleh PNSB kepada masjid-masjid yang telah ditetapkan di setiap daerah di negeri Selangor. Bagi memperkukuhkan sokongan kepada program ini, tahun berikutnya (2003) melihat PNSB memperuntukkan sebanyak 123 ekor lembu korban untuk diagihkan. Bagi tahun 2004 pula tambahan sebanyak 345 ekor lembu pula telah disediakan manakala sebanyak 346 ekor telah diperuntukkan untuk tahun 2005. Melalui kesemua majlis yang telah dianjurkan, acara penyerahan lembu-lembu korban telah dilaksanakan secara simbolik, iaitu dengan menyerahkan 9 ekor lembu korban kepada 9 daerah di negeri Selangor melalui Tuan Pegawai Daerah, ADUN, Ahli-Ahli Parlimen, Ketua-Ketua Bahagian UMNO serta Imam-imam Masjid di negeri Selangor. Walaubagaimanapun, majlis yang diadakan pada tahun 2005 telah diadakan secara serentak di 3 zon berasingan yang masing-masing mewakili 3 daerah.

Dif-dif kehormat yang turut hadir ke majlis di Shah Alam ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Ahli-ahli Parlimen Negeri Selangor, Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Selangor, Ketua-ketua Bahagian UMNO Selangor dan Ketua-ketua Jabatan Negeri Selangor .

Permodalan Negeri Selangor Berhad turut melibatkan diri dan memainkan peranan yang penting di dalam program-program amal yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS) dari masa ke semasa.

 

PNSB SAMPAIKAN CENDERAMATA KEPADA SULTAN SELANGOR

KLANG, 11 Dis. - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah menyampaikan cenderamata kenangan kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis Jamuan Teh sempena sambutan hari keputeraan Baginda ke 60 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang.

Cenderamata yang berupa “candle stand” yang diperbuat daripada tulang unta dari Morocco telah dipersembahkan oleh Ketua Eksekutif PNSB, Datuk Abdul Jabar Kamin.

"Candle Stand" ini melambangkan salah satu alat kebesaran DiRaja dan sering diletakkan di sudut-sudut singgahsana sebagai penyeri dalam setiap majlis. Manakala tulang unta pula melambangkan perhiasan termasyhur bagi pembesar-pembesar Islam khususnya di Timur Tengah.

Selain PNSB, wakil-wakil daripada anak-anak syarikat Kerajaan Negeri serta wakil sembilan Orang Besar Daerah turut sama mempersembahkan cenderamata masing-masing terdiri daripada sebuah potret, kain songket, pen, sepasang bilah keris dan sepasang kerusi berukiran keemasan.

Seramai lebih daripada 2,000 tetamu telah hadir untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Turut sama hadir pada majlis ini, Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Anggota Exco Kerajaan Negeri, Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Pembesar-Pembesar Negeri.

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN BERSAMA PNSB DAN SEPANG GOLD COAST SDN. BHD.

BAGAN LALANG, 30 Nov. - Lebih 800 tetamu telah hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran bersama PNSB dan Sepang Gold Cost Sdn. Bhd. di Padang Bagan Nyiur, Bagan Lalang, kelmarin.

Tetamu kehormat pada majlis tersebut adalah Y.Bhg. Datin Seri Zahrah binti Kechik, isteri kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

Pada majlis tersebut juga, Datin Seri Zahrah Kechik telah menyampaikan sumbangan berupa duit raya dan hamper kepada anak-anak yatim dan warga emas.

Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis Nasir Wahab dan Ramlah Ram.


Lagi Arkib Berita