| Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Balkis & PNSB | |
Program yang dianjurkan ini merupakan salah satu daripada pelbagai siri aktiviti amal BALKIS dan PNSB sejak bersama-sama menjalinkan perkongsian bijak di dalam memberi sokongan padu dan teguh kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup serta membela nasib rakyat termiskin menerusi pendekatan Mesra Rakyat dan Kerajaan Prihatin ke arah Negeri Selangor merealisasikan impian mencapai kadar kemiskinan sifar menjelang tahun 2005. Peranan yang dimainkan oleh BALKIS dan PNSB ini juga jelas mempamerkan rasa tanggungjawab dan keperihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Hanya dengan kesedaran yang berterusan ini dapat melahirkan masyarakat yang penyayang dan harmoni sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor di dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat prihatin terhadap hak-hak yang menyentuh kepentingan dan kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan kurang upaya. BALKIS dan PNSB bukan sahaja memfokuskan aktiviti kebajikan dari segi kuantiti dengan pemberian bantuan kepada anak-anak yatim, fakir miskin, warga emas dan ibu-ibu tunggal malah bagi tahun 2003, skop pemberian sumbangan telah diperluaskan kepada golongan kurang upaya dan pesakit-pesakit kronik serta Orang-Orang Asli di negeri Selangor. Di majlis yang dianjurkan ini, BALKIS dan PNSB telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur dan wang berupa duit raya kepada 2850 orang penerima yang terdiri daripada golongan fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, pesakit kronik dan Orang Asli dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen Negeri Selangor. Barangan berupa keperluan dapur dan duit raya telah diserahkan kepada wakil-wakil setiap golongan ini dengan cara simbolik oleh YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor dan YABhg. Datin Seri Zahrah Kechik, selaku Yang DiPertua BALKIS dan disaksikan oleh dif-dif kehormat, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen Negeri Selangor. |
|