PNSB Sedia Bantuan RM 1 Juta

Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik sedang menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Deepavali 2003.
SHAH ALAM: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memperuntukkan RM1 juta untuk disumbangkan kepada lebih 1,000 orang golongan yang kurang bernasib baik di Selangor sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri nanti.

Ketua Eksekutif PNSB, Datuk Abdul Jabar Kamin, berkata sumbangan itu bukan saja diberikan dalam bentuk wang tunai dan keperluan dapur tetapi juga peralatan persekolahan kerana kebetulan penggal sekolah baru bermula selepas hari raya.

Beliau berkata PNSB sebagai anak syarikat kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Selangor (Balkis) untuk mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan itu.

Beliau berkata, selain ibu tunggal, warga tua dan anak yatim, fakir miskin dan mereka yang cacat juga disenaraikan sebagai penerima.

"PNSB dan Balkis menyusun pelbagai program bantuan Ramadan dan Aidilfitri sepanjang bulan depan dan berharap sumbangan ini dapat meringankan beban serta menggembirakan mereka," katanya di sini, semalam.

Abdul Jabar berkata, sumbangan yang diberikan PNSB dan Balkis tidak terhad ketika Ramadan dan Aidilfitri, sebaliknya diberikan juga kepada masyarakat India dan Cina sempena perayaan masing-masing.

"PNSB amat komited dalam tanggungjawab sosialnya dengan memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik di Selangor tanpa mengira kaum, bangsa dan agama," katanya.

Terbaru, Abdul Jabar berkata, 680 masyarakat India diraikan pada satu majlis oleh Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zahrah Kechik di kediamannya bersempena sambutan Deepavali. - (Berita Harian, Sabtu - 18 Oktober 2003)

Balik Ke Menu Arkib