Program Kerajaan Prihatin (Nelayan) Majlis Pelancaran Program Mesra Rakyat & Kerajaan Prihatin Negeri Selangor 2003
Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta pada tahun 2003 bagi melaksanakan pembinaan rumah baru bagi nelayan yang telah dikenalpasti di daerah-daerah Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Untuk tahun 2003, sebanyak 47 buah rumah nelayan telah dikenalpasti dan pembinaan semula dijangka siap sepenuhnya dan diserahkan pada bulan Jun 2003. Program ini merupakan kesinambungan kepada program yang telah dilaksanakan pada tahun 2002 dimana PNSB telah membina 29 buah rumah nelayan termiskin yang telahpun siap. Kos pembinaan bagi setiap rumah adalah sebanyak RM17,000.00. Dua keluarga nelayan yang mewakili Daerah Sabak Bernam telah menerima kunci rumah baru daripada YAB. Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Bin Toyo, Dato' Menteri Besar Selangor di majlis yang telah diadakan di Pasir Panjang. Rumah baru nelayan-nelayan tersebut telah dibina oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad. Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Sabak Bernam ini telah diadakan di Perkarangan Balai Raya, Desa Nelayan. Di dalam ucapan beliau, Dato' Menteri Besar Selangor juga telah menyatakan bahawa dana nelayan sebanyak RM6.5 juta telah disediakan bagi membantu 1,300 keluarga nelayan. Tambah beliau, setiap nelayan yang telah dikenalpasti akan diberi bantuan sebanyak RM5,000.00 agar dapat membeli pukat bagi menambahkan hasil tangkapan dan bantuan tersebut tdak perlu dikembalikan. Menurut Dato' Menteri Besar Selangor, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi menggantikan atau membina semula jeti-jeti yang usang yang digunakan oleh nelayan-nelayan di daerah-daerah Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Di majlis ini juga, Ketua Eksekutif PNSB, YBhg. Dato' Abdul Jabar Bin Kamin turut menyampaikan cek bernilai RM1 juta sebagai sumbangan PNSB terhadap program Kerajaan Prihatin di mana ia akan digunakan untuk membina dan membaiki rumah rakyat miskin. Penyumbang-penyumbang lain termasuklah Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Pusat Zakat Selangor. |