Lawatan Teknikal Ke Indonesia Bersama YAB. Dato' Menteri Besar

Rombongan lawatan kerja ke Indonesia yang dianjurkan oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad telahpun selamat dilaksanakan pada 21-24 April 2003.

Lawatan 63 orang delegasi yang diketuai oleh YAB Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Bin Toyo, Dato' Menteri Besar Selangor ini telah membawa rombongan ke Yogyakarta, Solo dan Jakarta. Turut serta di dalam delegasi tersebut Ahli-ahli EXCO Negeri Selangor, Timbalan Speaker DUN, Ahli-ahli Dewan Undangan dan Ahli-ahli Parlimen Negeri Selangor, Ahli-ahli Politik Negeri Selangor serta Pengurusan dan Pegawai PNSB.

Tujuan lawatan diadakan adalah untuk memberi pendedahan mengenai penghasilan dan perusahaan batik di Indonesia disamping memanfaatkan teknologi dan kemahiran yang dimiliki oleh pengusaha batik di Indonesia bagi diimplementasikan di Negeri Selangor.

Disamping itu, perbincangan untuk memanfaatkan faedah pengecualian, fiskal/levi kepada setiap anggota Pertumbuhan Segitiga IMT-GT juga telah diadakan. Selangor telah diterima secara rasmi sebagai salah sebuah anggota baru-baru ini. Konsep IMT-GT diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan ekonomi serantau di samping meningkatkan industri pelancongan.

Atur cara lawatan 4 hari tersebut merangkumi lawatan ke kilang Batik Winotosastro dan pameran di Yogyakarta disamping telah membuat kunjungan hormat ke atas YTH Sri Sultan Hamengkubuwono X di Kraton Kilen Yogyakarta. Kunjungan hormat tersebut telah membangkitkan beberapa perbincangan antaranya di dalam mengeratkan hubungan dua hala di antara kedua-dua Kerajaan. Hari-hari seterusnya telah membawa rombongan ke Galeri dan kunjungan ke Kilang Batik Danar Hadi di Solo.

Lawatan ke Pameran Ina-Craft di Jakarta yang mempamerkan hasil kraf Indonesia juga telah dilaksanakan. Rombongan delegasi juga telah berpeluang untuk membuat kunjungan hormat kepada YTH Bapak Hamzah Haz, Wakil (Timbalan) Presiden Indonesia di Jakarta.

Arkib Berita PNSB