Memorandum Persefahaman PNSB-CNI Bagi Membangunkan Sepang Gold Coast Dan Sepang Water City

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), telah menjalinkan kerjasama dengan CNI International (CNI) bagi membangunkan Sepang Water City dan Sepang Goldcoast sebagai destinasi pelancongan antarabangsa untuk kawasan Asia. Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak telah diadakan di pejabat CNI di Jakarta dan telah disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Pada majlis tersebut, PNSB telah diwakili Ketua Eksekutifnya, Dato' Abdul Jabar Kamin dan Dato' Lee Hwa Beng, selaku Pengarah PNSB, manakala "Sepang Gold Coast" telah diwakili Ketua Eksekutifnya, Ho Hok Seng dan Pengarah CNI, S. Abrian Natan.

"Sepang Water City" dan "Sepang Gold Coast" akan dimajukan di tanah seluas 4621 ekar di pinggir Sungai Sepang Kecil dan Sungai Sepang Besar serta pinggir pantai Bagan Lalang hingga ke Tanjung Sepat. Pembangunan yang berkonsepkan eko pelancongan iaitu pembangunan di persisiran pantai Sepang dan sepanjang sungai akan menggabungkan beberapa elemen dan komponen seperti pembangunan kediaman percutian yang mempunyai konsep seni bina, budaya dan persekitaran tersendiri, aktiviti rekreasi pantai serta pembangunan sokongan. Eko pelancongan adalah bidang yang berpotensi dalam industri pelancongan dunia dan Selangor mempunyai kedudukan yang baik untuk mengeksploitasi perkembangan dengan anugerah alam semula jadi yang luas dan penuh dengan tarikan yang menakjubkan.

Hadir sama, Pengerusi CNI Indonesia, Yanki Regan, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Dato' Mohd Zawawi Saleh, Pegawai Kewangan, Dato' Mohd Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Belia, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar. "Sepang Water City" mengemukakan elemen sistem pengangkutan air dan pembangunan di sepanjang sungai Sepang dan pesisir pantai di samping mempunyai ciri pembangunan hutan paya bakau yang tidak akan mengganggu ekologi semula jadi hutan.

Pembangunan dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama yang akan merangkumi taman tema air, rumah kelab, penginapan, restoran serta pangsapuri. Fasa kedua akan menempatkan canal residential, kampung pendidikan dan taman kesihatan (SPA) manakala fasa ketiga, akan merangkumi global trading village, padang golf, marina, banglo mewah serta pelabuhan homes. "Sepang Gold Coast" turut menggabungkan elemen kediaman percutian Manaus, bandar bercirikan kolonial, dan Balinese Spa Resort iaitu sebuah pusat percutian menggunakan konsep Bali bagi bangunan, landskap serta kawasan SPA dan aromaterapi tradisional Bali.

Kos pembangunannya dianggarkan kira-kira RM4 bilion dan dilaksanakan dalam 10 fasa pembangunan. Sejumlah RM2.5 bilion akan dilaburkan dalam fasa satu hingga lima.

Arkib Berita PNSB