PNSB Bantu Ibu Tunggal, Keluarga TermiskinSHAH ALAM: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat kerajaan negeri tidak melupakan tanggungjawab sosialnya dalam membela nasib keluarga termiskin dan ibu tunggal dengan menyalurkan bantuan barangan dapur sebanyak RM138 setiap bulan. Ketua Eksekutif PNSB, Datuk A Jabar Kamin, berkata sumbangan mula disaIurkan sejak Februari lalu kepada 217 keluarga dan ibu tunggal dari daerah Gombak, Sepang, Hulu Langat, Petaling dan Hulu Selangor yang disenaraikan untuk menerima bantuan. Beliau berkata, bantuan membabitkan 50 keluarga dan ibu tunggal dari daerah Gombak, 35 keluarga daerah Sepang dan Hulu Langat, 23 keluarga dari petaling dan 53 keluarga dari Hulu Selangor. "PNSB melantik Mais Food Industries menyediakan barangan keperluan dan mengagihkan kepada mereka yang dikenal pasti," katanya kepada Berita Harian. A Jabar berkata, PNSB juga tidak melupakan tanggungjawab sosial dengan membela nasib pelajar miskin melalui sumbangan kewangan RM30 sebulan. "Bantuan ini disalurkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia. "Program sumbangan itu juga akan dijadikan aktiviti bulanan PNSB dan mula disalurkan kepada pelajar yang layak dari seluruh daerah di Selangor tidak lama lagi," katanya. A Jabar berkata, program itu adalah kesinambungan PNSB terhadap agenda kerajaan negeri mempertingkatkan serta membela nasib rakyat termiskin menerusi pendekatan Mesra Rakyat dan Kerajaan Prihatin. Katanya, program itu memberi tumpuan khusus kepada mengukuh dan mempertingkatkan sosio-ekonomi komuniti yang kurang bernasib baik dengan memberi sokongan secara sumbangan atau program kebajikan. Selain itu, PNSB akan terus mengadakan kerjasama dengan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Selangor (Balkis) melaksanakan kerja amal, bagi membantu golongan kurang bernasib baik. - (Berita Harian, Rabu - 2 April 2003) |