PNSB Menyampaikan Cenderamata Kepada Sultan Selangor
Cenderamata yang berupa gong perak telah dipersembahkan oleh Ketua Eksekutif PNSB, Datuk Abdul Jabar Kamin. Gong perak tersebut bertiangkan gading gajah telah ditempah khas untuk ke bawah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Pertabalan dan Kemahkotaan Baginda sebagai Sultan Selangor yang ke IX. Gong perak ini melambangkan perisytiharan kemahkotaan Baginda sebagai Sultan Selangor yang ke IX. Manakala gading gajah pula melambangkan kebesaran dan kemasyhuran di mana pada dahulukala hanya digunakan oleh raja-raja Melayu. Selain PNSB, wakil-wakil daripada anak-anak syarikat Kerajaan Negeri serta wakil sembilan Orang Besar Daerah turut sama mempersembahkan cenderamata masing-masing termasuk potret, Keris Bugis, sejenis senjata bernama "Tumbuk Rias" dan tepak sirih berusia 100 tahun yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Seramai lebih daripada 2,000 tetamu telah hadir untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Turut sama hadir pada majlis ini, Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Anggota Exco Kerajaan Negeri, Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Pembesar-Pembesar Negeri. |