Balkis, PNSB Bela Golongan Miskin
Setiap kali musim perayaan, Balkis akan tampil bersama PNSB menyediakan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa serta fahaman politik. Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zahrah Kechik, berkata Balkis perkongsian pintar antara Balkis dan PNSB membolehkan banyak program kemasyarakatan dan kebajikan diadakan sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membantu golongan yang memerlukan. Beliau berkata, program kebajikan dengan kerjasama PNSB itu adalah selaras dengan konsep Mesra Rakyat yang ditekankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Kata Zahrah, perkongsian pintar yang wujud antara Balkis dan PNSB adalah satu langkah bijak dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik di Selangor. "Matlamat kita adalah untuk memberitahu golongan yang kurang bernasib baik bahawa masih ada pihak yang prihatin dan sayangkan mereka. Kita tidak mahu ada di antara rakyat di Selangor yang terbiar tanpa pembelaan. Seboleh-bolehnya kita akan bantu agar nasib mereka terbela," katanya. Sementara itu, Ketua Eksekutif PNSB, Datuk A Jabar Kamin, berkata PNSB aktif dan sentiasa prihatin terhadap program Masyarakat Prihatin dan bekerjasama dengan Balkis untuk menyumbang kepada fakir miskin dan masyarakat kurang bernasib baik di sekitar Selangor, terutama di Sabak Bernam, Tanjung Karang dan Kuala Selangor. Beliau berkata, sepanjang musim perayaan tahun lalu dan tahun ini banyak program penyampaian bantuan kepada anak yatim, warga emas dan ibu tunggal bersama Balkis diadakan di seluruh daerah. "Kita akan terus bekerjasama dengan Balkis menganjurkan program sebegini kerana selaku syarikat korporat yang prihatin, PNSB tidak hanya memikirkan keuntungan syarikat semata-mata tetapi tidak lupa dalam melaksanakan tanggungjawab sosial," katanya. Selain itu, katanya, PNSB giat membantu Balkis mengadakan program amal bagi mendapatkan pembiayaan ke atas pembinaan Kompleks Wawasan Balkis di Seksyen 7, Shah Alam yang dijangka siap hujung tahun ini. A Jabar berkata, selain menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada kompleks itu, PNSB menjayakan majlis makan malam amal Balkis tahun lalu dan berjaya mengumpul kira-kira RM5 juta daripada penyumbang lain. "PNSB juga mengadakan pertandingan Golf Amal bagi mengumpul dana dengan mendapatkan sumbangan ikhlas daripada peserta pelbagai organisasi termasuk syarikat kerajaan negeri, badan berkanun negeri, sektor swasta dan korporat di samping individu," katanya. Dalam program itu, katanya, RM200,000 dikumpul dan disalurkan kepada Balkis untuk membiayai aktiviti kebajikan di samping menyediakan kelengkapan dan keperluan bagi Kompleks Wawasan Balkis yang juga menempatkan seluruh operasi Balkis dan bertindak sebagai platform yang akan menggerakkan aktiviti kebajikan. Kata A Jabar, program terbesar diadakan bersama Balkis, jamuan Aidilfitri yang dihadiri kira-kira 10,000 tetamu termasuk tetamu khas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. "Kita gembira kerana majlis itu turut dimeriahkan oleh warga emas, golongan kurang upaya, penghuni Pusat Serenti serta masyarakat Orang Asli. "Pada majlis itu juga Sultan Selangor menyampaikan hadiah kepada anak Orang Asli yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR serta penyampaian cek kepada rumah orang-orang tua," katanya. Beliau berkata, PNSB akan terus menjalin kerjasama erat dengan Balkis bagi menganjurkan program Kerajaan Prihatin dengan matlamat memberi cahaya kehidupan baru kepada keluarga termiskin selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai kadar kemiskinan sifar menjelang 2005. - (Berita Harian, Isnin - 24 Feb. 2003) |