PNSB Beri RM2 Juta Baiki RumahSHAH ALAM: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dijangka memperuntukkan RM2 juta lagi bagi melaksanakan pembinaan dan membaik pulih rumah rakyat termiskin di Selangor seiring Program Kerajaan Prihatin yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak tahun 2001. Ketua Eksekutif PNSB, Datuk Abdul Jabar Kamin, berkata PNSB bersama syarikat milik kerajaan negeri dan korporat naungan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM1 juta setiap tahun untuk disumbangkan bagi membina rumah baru dan membaik pulih rumah usang di daerah Sabak Bernam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor. Beliau berkata, pada 2001 sebanyak RM1 juta disumbangkan bagi pembinaan rumah baru dan membaik pulih rumah usang di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, manakala RM2 juta lagi disumbangkan pada 2002 untuk fasa satu dan dua. Untuk fasa satu, PNSB menyumbang RM1 juta untuk daerah Gombak yang meliputi pembinaan semula 33 rumah rakyat termiskin dan membaik pulih 62 buah rumah usang. "Semua rumah siap dilaksanakan pada September 2002. Bagi fasa dua, RM1 juta lagi disumbangkan untuk daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat," katanya. Beliau berkata, dalam fasa dua, sebanyak 45 rumah rakyat termiskin dibina semula di daerah Kuala Selangor, tujuh di Sabak Bernam dan tiga rumah yang terbabit dalam kebakaran di daerah Kuala Langat, manakala sebuah dibaik pulih di Tanjung Karang. "Program fasa dua siap sebelum hari raya pada Disember lalu," katanya. A. Jahar berkata, konsep kerajaan prihatin turut memberi tumpuan kepada projek pembinaan perumahan kos rendah yang secara tidak langsung dapat mengurangkan masaIah setinggan sejajar sasaran menjadikan Selangor Setinggan Sifar dan Pembasmian Kemiskinan Tegar menjelang tahun 2005. PNSB juga memperuntukkan kira-kira RM500,000 membina semula atau membaiki rumah nelayan di Selangor yang dikenal pasti dalam kategori termiskin dalam usaha membela semula nasib mereka. "PNSB juga terus menyokong usaha kerajaan negeri melaksanakan program membela nasib rakyat seperti selama ini. "Kita akan terus memberi bantuan kepada ibu tunggal dan fakir miskin yang layak serta menyalurkan sumbangan kepada pelajar miskin yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia serta menganjurkan seminar peperiksaan," katanya. - (Berita Harian, Sabtu - 22 Feb. 2003) |