FORMULA 6M & 4E


OBJEKTIF 6M

  • Membentuk sebuah masyarakat Selangor/Malaysia yang bermaruah, beridentiti, kukuh dan disegani oleh masyarakat lain;
  • Menubuhkan sebuah negeri/negara bahagia;
  • Menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan; dan
  • Menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan memuaskan pelanggan.

MUSYARATAH

  • Dari kata dasar ‘syarat’ – iaitu syarat yang menjadi dasar di mana sesuatu formula atau penyelesaian itu didirikan, atau ringkasnya membuat pensyaratan.
  • Musyaratah adalah suatu proses menetapkan serta mengiltizamkan diri dan organisasi terhadap syarat-syarat yang dituntut untuk mencapai sesuatu matlamat.
  • Musyaratah dilakukan supaya tidak berlaku pertentangan pendapat yang boleh membawa kepada perselisihan faham dalam menentukan strategi ke arah pencapaian matlamat individu mahupun organisasi.
  • Kejayaan diri atau organisasi yang dicapai dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan merupakan kejayaan sebenar. Sebaliknya, kejayaan yang dicapai melalui pelanggaran syarat adalah kejayaan palsu.

MURAQOBAH

  • Dari kata dasar ‘ra-qa-ba’ – iaitu sifat mengawasi secara berterusan.
  • Sifat sentiasa menyedari dan menginsafi diri dalam mengawasi tatacara atau kaedah pencapaian sesuatu matlamat individu ataupun sesebuah organisasi itu, senantiasa berada di landasan yang telah disyaratkan, dikenali sebagai Muraqobah.
  • Sifat Muraqobah boleh ditingkatkan melalui menjaga hati, perasaan dan fikiran, menjaga yang hak serta selalu bersikap berharap dan memohon daripada Allah S.W.T.
  • Sifat Muraqobah akan mewujudkan sikap-sikap yang murni di dalam setiap individu tanpa mengira status dan sekaligus dapat melahirkan jentera pentadbiran yang mampan.

MUHASABAH

  • Dari kata dasar ‘ha-sa-ba’ – iaitu mengira.
  • Muhasabah adalah satu usaha yang dilakukan oleh setiap individu untuk mengira atau menilai prestasinya sebelum prestasinya itu dikira oleh entiti lain.
  • Muhasabah bertujuan untuk memastikan segala sikap dan tindakan yang dilakukan menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. dalam segala aspek kehidupan.
  • Muhasabah boleh dibuat dari sudut nikmat yang dikecapi, bala yang diterima, amal ibadah dan maksiat terhadap Allah S.W.T.

MU'AQOBAH

  • Dari kata dasar ‘a-qo-ba’-iaitu mendidik jiwa supaya menjadi lembut dan mentaati Allah S.W.T.
  • Mu’aqobah adalah satu sikap dan mentaliti yang sentiasa menyedarkan diri bahawa setiap perlakuan akan ada tindakbalas atau hasilnya, sama ada baik atau buruk (pahala atau dosa), mengikut ketentuan Allah S.W.T.
  • Mu’aqobah mampu menghasilkan tindakan yang benar-benar bersesuaian dengan nur syariah yang didasarkan kepada usaha-usaha Musyaratah, Muraqobah dan Muhasabah Islam.
  • Sikap Mu’aqobah menjadikan manusia bertanggungjawab di atas segala tindakan.

MUJAHADAH

  • Dari kata dasar ‘ja-ha-da’ – iaitu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T. dan sunnah Rasulnya dalam setiap aspek kehidupan.
  • Mujahadah adalah sikap dan mentaliti yang perlu disematkan dalam pemikiran dan amalan manusia agar sentiasa bersedia dan bersemangat tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa mementingkan diri sendiri.
  • Seseorang yang bermujahadah, atau dikenali sebagai mujahid merupakan seorang yang tidak lupa asal-usul dan kejadian diri, bersikap baik, melakukan sesuatu dengan ikhlas, berterusan serta menepati syarak tanpa mengira sindiran dan ancaman manusia.
  • Mujahadah mampu melahirkan individu yang positif, pro-aktif dan berketrampilan.

MU'ATABAH

  • Dari kata dasar 'a-ta-ba’ – iaitu tegas dan jelas dalam mencela sikap buruk yang ada pada individu dan organisasi.
  • Mu’atabah merupakan satu proses penginsafan diri dan perlakuan manusia dan ia adalah peringkat yang lebih tinggi dari muhasabah.
  • Proses mu’atabah boleh dilakukan dengan memperingatkan diri dan organisasi secara syakhsiyyah, akan keburukan dan kehinaan diri disebabkan oleh sikap yang buruk lagi hina.
  • Proses pencelaan yang dilakukan secara berterusan dapat menyedarkan diri dan organisasi akan matlamat yang perlu dicapai.
MEMAHAMI DASAR PENGURUSAN 4E


Tercetus dari keinsafan bahawa jika Negeri Selangor hendak mampu menghadapi cabaran dari dalam mahupun luar negara, maka mutu perkhidmatan jentera kerajaan negeri mesti diperkasakan. Niat yang tersurat serta tersirat adalah supaya warga jentera perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor bertaraf "world class", sering dengan tuntutan arus global dan menjadi salah satu simbol keyakinan Negeri Selangor sebagai negeri yang maju.

E1 = EDUCATED (terdidik) - Seluruh warga negara perkhidmatan awam perlu 'Educated' iaitu sentiasa mengemaskinikan diri masing-masing dengan ilmu dan pengetahuan yang terbaru dalam bidang masing-masing. Mereka perlu meluangkan masa membaca dan mendapatkan maklumat terbaru.

E2 = EFFICIENT (cekap) - Efisyen iaitu menghayati sepenuhnya konsep menghasilkan perkhidmatan yang memuaskan hati para pelanggan mereka dengan menggunakan dua pendekatan. Total kualiti menagement dan ISO 9002. Cara-cara bekerja dalam abad baru ini tidak seharusnya terkongkong pada cara-cara bekerja abad yang lepas. Sekarang semuanya berlaku atau bergerak dengan pantas.

E3 = EFFECTIVE (berkesan) - 'Effective' bermakna segala program-program yang dijana oleh perkhidmatan awam tepat pada sasarannya. Iaitu, jika kita meluluskan peruntukan, maka golongan yang sepatutnya menerima manfaat memang akan menerima manfaat yang maksimum. Jika kita buat peraturan, maka peraturan itu akan melindungi hak-hak mereka yang sepatutnya dilindungi dan peraturan ini dikuatkuasakan ke atas mereka yang menimbulkan masalah. Justeru, kita tidak mahu dikenali sebagai lebih indah khabar dari rupa. Yang akan disebut orang adalah pencapaian kita yang hakiki dan bukannya retorik kita yang bermusim.

E4 = E-GOVERNMENT (kerajaan elektronik) - 'Electronic Government' adalah wadah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam abad 21 dan merupakan anjakan paradigma atau 'paradigm shift' kepada perkhidmatan awam kerana ianya bertujuan mempercepatkan dan memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan dan juga urusan antara jabatan-jabatan/agensi kerajaan dan antara sektor awam dengan sektor swasta. Anggota perkhidmatan awam sering diperingatkan bahawa samada mereka suka atau tidak, mereka tidak boleh mengasingkan diri mereka daripada E-Govt. ini. Bahkan mereka sentiasa diseru iaitu selain daripada mesra rakyat, mereka perlu mesra IT.