Hubungi Kami Utama

MAJLIS PENYERAHAN ZAKAT

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melalui Kelab Kebajikan PNSB telah mengadakan Majlis Penyerahan Zakat di Masjid Seksyen 7 Shah Alam pada 27hb September 2018 dan di Masjid An-Naim Sabak Bernam pada 4hb Oktober 2018.

Majlis Penyerahan Zakat yang diadakan oleh PNSB ini adalah sebahagian daripada Wakalah Agihan Zakat yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). Wakalah Agihan Zakat memberi peluang kepada pengeluar zakat seperti PNSB untuk mendapatkan pengembalian semula agihan zakat bagi diagihkan kepada asnaf yang layak. Melalui Wakalah Agihan Zakat, pengeluar zakat dilantik sebagai wakil bagi pihak LZS untuk mengagihkan sendiri zakat dengan pemantauan LZS berdasarkan kepada prinsip agihan zakat.

Antara asnaf yang layak menerima manfaat agihan ini termasuklah asnaf fakir, miskin, muallaf, fisabilillah dan gharimin (perubatan). Seramai 40 orang asnaf fakir dan miskin telah menerima bantuan zakat pada Majlis Penyerahan di Masjid Seksyen 7 manakala seramai 80 orang fakir dan asnaf telah menerima bantuan zakat dalam majlis di Masjid An-Naim .

Selain Majlis Penyerahan Zakat di Shah Alam dan Sabak Bernam ini, PNSB juga akan mengadakan majlis penyerahan di Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah, Puncak Alam (11hb Oktober), Surau Al-Jamaliah, Beranang (18hb Oktober), Masjid Lama An-Nawawi Kampung Delek, Klang (1hb November) dan Sekolah Agama Rakyat KAFA Integrasi Nurul Huda, Tanjong Karang (8hb November).